Kata Aluan...

senyumlah...

senyumlah...

Tuesday, February 1, 2011

Warga GSTT wajar teruskan profesion

CADANGAN Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) supaya Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) lepasan ijazah diserapkan sebagai guru tetap wajar bagi menampung kekurangan tenaga pengajar terutama di sekolah menengah.

Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar, berkata guru terbabit masih diperlukan bagi mengatasi masalah itu terutama membabitkan lokasi di luar bandar dan pedalaman.
Pada masa yang sama pula, beliau berkata, guru bukan lepasan ijazah perlu disambung kontrak perkhidmatan masing-masing berikutan banyak sekolah rendah menghadapi masalah sama.
Pendekatan itu katanya, bertepatan dengan formula situasi menang-menang bagi menampung kekurangan guru yang dihadapi kementerian. Keputusan itu membolehkan GSTT terbabit meneruskan profesion masing-masing.

“Penamatan kontrak GSTT pada 31 Disember lalu menyebabkan berlaku kekurangan guru terutama di kawasan terpencil. Kekurangan ini dikhuatiri berterusan hingga menjejaskan persiapan calon yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Berbanding jumlah keseluruhan GSTT seramai 12,000 orang, hanya 1,614 dipanggil semula. Kadar itu terlalu sedikit hingga menyebabkan berlaku kekurangan guru terutama di kawasan tertentu.

“Penamatan kontrak 578 GSTT di Sabah, sebagai contoh, menyebabkan kekurangan 19 guru di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Lahad Datu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong, Tenom (13) dan SMK Tandek, Kota Marudu (11),” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.
Presiden NUTP, Hashim Adnan, sebelum ini dalam kenyataannya berkata, Kementerian Pelajaran perlu mencari mekanisme khusus untuk menyerap lebih ramai GSTT sebagai guru tetap.

Hashim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, seramai 1,614 GSTT akan disambung semula kontrak perkhidmatan dalam masa terdekat bagi menampung kekurangan tenaga pengajar.

Beliau berkata, bagi 578 GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak tahun lalu pula, kementerian turut memutuskan mengkaji semula kedudukan mereka berikutan sebahagian besar daripadanya hanya berkhidmat selama dua tahun.

Sumber : Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/02/02

No comments:

Post a Comment