senyumlah...

senyumlah...

Sunday, September 18, 2011

Sabar dalam menghadapi ujian ALLAH



Walaupun kepatuhan kepada-Nya bukan alasan untuk tidak berusaha menolak kemiskinan, kesakitan dan kegagalan, Allah mendatangkan takdir yang kadang-kadang kita langsung tidak terfikir akannya. Jika kemiskinan, kesakitan dan kegagalan berlaku juga, tentulah ada kebaikan yang tersembunyi. Dan hakikat itu pastinya tidak dapat kita singkap dengan akal kita yang sejengkal berbanding dengan ilmu Allah yang maha luas..Petikan dari Nota Fikir untuk zikir..
Firman ALLAH:-

" Boleh jadi kamu membenci sesuatu tetapi ia amat baik bagi kamu dan boleh jadi (juga) kamu menyukai sesuatu tetapi ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." ( Al-Baqarah : 216 )

Ayat di atas amat jelas bagi kita untuk dijadikan sebagai ukuran terhadap apa yang berlaku ke atas diri seseorang mukmin itu. Bagi orang mukmin yang kuat imannya sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadah kepada Allah serta sabar dalam menghadapi ujian Allah. Setiap manusia tidak menginginkan masalah apatah lagi ujian dari Allah. Bahkan ada yang ingin melarikan diri dari masalah yang berlaku. Itukah yang patut kita lakukan sebagai seorang khalifah.

Ingatlah bahawa bila mana kita tidak ditimpa ujian dari Allah kita akan sentiasa selesa dengan keadaan tersebut sehinggakan kita lupa untuk membantu orang-orang susah di sekeliling kita. Kita merasakan yang demikian itu bukan tanggungjawab bersama. Biarlah dia selesaikan sendiri sedangkan dia memerlukan bantuan dari pihak yang lain. Itulah kesombongan yang terdapat dalam diri manusia yang mempunyai hasad dengki. Sifat yang perlu dikikis dari hati seseorang insan. Bila mana sifat ini bermaharajarela dalam diri seseorang insan itulah yang membuatkan kita menjadi khianat sesama insan, sedangkan ianya rekaan semata-mata demi memuaskan nafsu.

Seseorang insan yang beriman wajarlah memikirkan ujian yang Allah timpakan ke atas kita adalah tarbiah dari Allah. Berfikiran positiflah dengan apa yang menimpa kerana kita dapat belajar daripadanya. Kadang-kadang Allah ingin menguji keimanan seseorang dalam menghadapi situasi tersebut supaya tidak terkejut dengan ujian yang lebih besar. Kita dapat belajar daripadanya dengan kita dapat menilai terukkah ujian itu padaku sedangkan ada orang lain lagi hebat dugaannya berbanding kita. Perbandingann tersebut akan membuatkan kita bersangka baik dengan Allah. Mudah-mudahan ada hikmah disebaliknya yang dapat kita pelajari. Betullah apa yang dikatakan Allah dalam firmanNya sesuatu yang kita tidak suka akannya boleh jadi baik bagi kamu manakala sesuatu yang kita suka boleh jadi ianya buruk bagi kamu.

Kemiskinan, kesakitan dan kegagalan yang menimpa seseorang ada hikmah yang perlu kita selidiki daripadanya agar kita tidak merasakan sebagai bebanan yang besar. Apabila kita ditimpa kemiskinan serta kesakitan kita redhalah akannya dan mencari solusi yang terbaik dalam menyelesaikannya. InsyaAllah Allah akan membalas segala ujian yang kita lalui itu bila mana kita bersabar. Sekiranya kita salah seorang daripadanya, sama-samalah kita pohon kepadaNya agar dikuatkan iman serta kesabaran dalam menghadapinya.

Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".