Kata Aluan...

senyumlah...

senyumlah...

Wednesday, November 10, 2010

Mahasiswa cuba dekati Orang Asli

Bantu kerajaan menyedarkan golongan berkenaan mengenai kepentingan pendidikan

REMBAU - Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menggalakkan mahasiswa di negara ini turun padang bagi membantu kerajaan menyedarkan masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan pendidikan.

Timbalan Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, melalui pendekatan sosial seperti menganjurkan program berbentuk kemasyarakatan, mahasiswa dapat menerangkan kepada masyarakat Orang Asli mengenai pendidikan secara lembut dan berkesan.

Menurutnya, pendekatan formal yang digunakan sebelum ini iaitu ceramah kesedaran yang diadakan di seluruh negara tidak begitu berkesan kerana mereka akan melupakan inti pati ceramah sebaik berakhirnya majlis.

“Namun, pendekatan yang digunakan mahasiswa melalui aktiviti kemasyarakatan mampu membantu menyedarkan Orang Asli betapa pentingnya pendidikan.

“Aktiviti ini dijalankan dengan lebih santai tetapi padat informasi pendidikan,” katanya ketika merasmikan Program Eksplorasi Murabbi, anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama masyarakat pribumi di Kampung Ulu Chembong, di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Datuk Mohd Sani Mistam; Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Muhamad Muda dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Zaifulbahri Idris.

Hasan berkata, masyarakat Orang Asli diberi tunjuk ajar mengenai kemajuan diri, menguasai ilmu dan memiliki sahsiah terpuji, selain diberi pendedahan dari segi pergaulan bersama orang luar.

“Mereka tidak dipaksa untuk mendengar tetapi diberi pendedahan mengenai kehidupan mahasiswa dan kebaikannya mempunyai pendidikan tinggi.

“Mahasiswa pula mampu menghurai dan memanfaatkan ilmu yang ada untuk kebaikan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Menurutnya, pada tahun ini, seramai lima pelajar Orang Asli dihantar ke luar negara melanjutkan pelajaran di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Sementara itu, seramai 210 pelajar diterima masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 121 pelajar masih menunggu rayuan untuk kemasukan bagi Disember ini.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan pendidi�kan Orang Asli setaraf dengan kaum lain di negara ini supaya mereka tidak terus dianggap ketinggalan dan tidak berpendidikan,” katanya.

Hasan berkata, dengan usaha berterusan dilakukan kementerian melalui JHEOA, ramai masyarakat Orang Asli sudah berjaya dan menjadi golongan profesional.

“Bagaimanapun, jumlah yang berjaya ini perlu ditingkatkan lagi dan kerjasama semua pihak amat diharapkan,” katanya.

sumber : Sinar Harian
Khamis ( 11/11/2010 )

No comments:

Post a Comment